Tuesday, August 25, 2009

Kenapa teragak-agak melaksanakan hukuman


Hukuman sebat terhadap model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno kerana meminum arak, yang sepatutnya dijalankan minggu ini, ditangguhkan bagi menghormati bulan Ramadhan. Pengerusi Jawatankuasa Dakwah dan NGO Pahang, Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz yang mengesahkan perkara itu berkata, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memutus untuk menangguhkan sementara hukuman sebat itu atas nasihat Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Rahman Yunus.
Suatu yang amat memalukan melihat sketsa pendek yang dipaparkan di dada TV pada malam tadi. Seperti dijangka, isu itu jugalah yang sedang hangat dibincangkan oleh teman-teman di surau. Kebanyakkan mereka menyatakan rasa sedih melihatkan perkembangan ini. Ada yang lebih jauh menganggap isu ini menjadi satu penghinaan terhadap Hukum Allah itu sendiri.
Tidak banyak yang mampu saya komen di hadapan teman-teman. Kalaulah tidak kerana pengaruh daripada mana-mana pihak atasan, bagi saya tindakan JAIP itu amat memalukan. Apakah alasan menghormati Bulan Ramadhan wajar dikaitkan dengan perlaksanaan Hukuman Mahkamah Syariah. Adakah hukuman sebat ini sama tarafnya dengan konsert amal artis tempatan dan luar negeri yang biasa ditangguhkan kerana Ramadhan.
Sikap kita yang tidak meletakkan penggantungan sepenuhnya kepada Allah, sering kali memakan diri kita sendiri. Mahkamah Sivil yang hanya melaksanakan hukuman ciptaan manusia begitu tegas dalam melaksanakannya. Walaupun tanpa sebarang motivasi berbentuk pahala dalam melaksanakannya, mereka melakukannya tanpa rasa ragu, apatah lagi tunduk dengan sesiapapun yang menjadikannya sebagai isu.
Sekian lama bidangkuasa yang ada tidak digunapakai, maka apakah mampu untuk kita meminta tambahan kuasa. Berapa ramaikah di antara kita yang sanggup menghadapi cabaran dalam melaksanakan tuntutan tuhan, berbanding hanya berdiam diri kerana bimbang melakukan kesilapan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...