Hukuman sebat terhadap model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno kerana kesalahan minum arak akan ditangguhkan sehingga Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai kepakaran untuk melaksanakan hukuman itu mengikut undang-undang syariah. Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Jabatan Penjara tidak mempunyai tukang sebat yang berkemahiran untuk melaksanakan hukuman mengikut cara dan kaedah syariah."Saya kena akui kita tak ada pengalaman dalam kes ini. Dari segi tanggungjawab saya difahamkan bahawa di bawah akta negara, kita (KDN) dipertanggungjawabkan tapi tak mungkin akan saya benarkan kita laksanakan hukuman itu sekiranya tidak mempunyai kemahiran, kepakaran dan tidak ikut hukum dan cara yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kepimpinan Petunjuk Bidang Keberhasilan Utama Negara di KDN. Beliau diminta mengulas mengenai penangguhan hukuman sebat terhadap Kartika yang dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah di Mahkamah Syariah Kuantan pada 18 Julai lepas kerana meminum arak di sebuah hotel di Cherating, Pahang.Semalam pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Perpaduan dan NGO Pahang Datuk Mohd Safri Abdul Aziz dilaporkan berkata bahawa penangguhan hukuman sebat itu diputuskan oleh Ketua Hakim Syarie negeri Datuk Abdul Rahman Yunus bagi menghormati bulan Ramadan. Hishammuddin berkata Jabatan Penjara tidak memiliki tukang sebat syariah kerana selama ini tiada keperluan untuk jawatan berkenaan diwujudkan."Selagi KDN tidak bersedia, selagi itu hukuman ini tidak dibuat. Bagi saya kalau kita tak ada orang yang buat, macam mana kita nak laksanakan hukuman secara adil."Islam menuntut, kalau nak laksanakan mesti ikut hukum dan secara adil. Berapa lama masa yang diambil, jika kita boleh adakan (tukang sebat) dalam masa sehari, esok saya bersedia (untuk melaksanakannya)," katanya. Pelaksanakaan hukuman itu, kata Hishammuddin, akan tetap dilaksanakan sebagaimana yang ditetapkan oleh mahkamah namun ia perlu mengikut kaedah dan syariat yang dibenarkan."Selama ini tidak ada keperluan, jadi tidak ada hukuman sebegini rupa dan kita tidak dipertanggungjawabkan. Tapi sekarang dah ada, jadi kita kena bersedia. Ketika ditanya mengenai keperluan untuk mewujudkan Penjara Syariah bagi menangani kes dan hukuman syariah, Hishammuddin berkata perkara itu bukan satu keperluan pada masa ini. BERNAMA
Saya tidak pasti sejak bilakah Jabatan Penjara diwujudkan di negara ini. Namun sejak kewujudannya sekian lama, kita masih belum mempunyai tukang sebat dan segala bentuk kemahiran berkaitan dengannya. Ketiadaan ini adalah disebabkan anggapan kerajaan bahawa tiada keperluan kepadanya. Amatlah menghairankan kerana sekian lama Mahkamah diwujudkan, kita masih mengatakan belum ada keperluan untuknya.
Oleh kerana keperluannya sudah ada pada hari ini, maka tindakan segera wajib dibuat. Untuk mewujudkan seorang pakar sebat bukanlah terlalu sukar. Ianya tidaklah memerlukan masa yang begitu lama untuk menghantar pegawai kita untuk mempelajarinya di negara yang sudah melaksanakannya. Atau boleh saja dijemput tukang sebat negara luar untuk melaksanakannya. Atau mungkin saja kita terus menggunakannya sebagai alasan untuk tidak melaksanakannya buat beberapa puluh tahun lagi.
No comments:
Post a Comment