Monday, August 31, 2009

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ


Negara menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 52. Berbagai bentuk sambutan dan penghayatan mengikut fahaman dan pendirian masing-masing. Sambutan tetap diadakan walaupun tidak sehebat tahun-tahun sebelumnya. Ancaman wabak selsema babi (Influenza H1N1) boleh dijadikan pengajaran. Kemerdekaan mutlak hanya milik dan pemberian Allah. Walaupun negara bebas dari penjajah, Allah mampu memenjarakan kita di rumah dengan menghantar wabak. Maka apakah wajar kita melupakan Allah dalam menyambut kemerdekaan.


Ada yang mahukan kemerdekaan, kerana penjajahan menghalang mereka beribadat dan mengamalkan Islam, namun setelah mendapat kemerdekaan mereka tidak juga beribadat dan semakin jauh dari Islam. Ada yang berusaha menghalau penjajah barat tetapi setelah barat pergi mereka pula yang mengagungkan dan mengikut telunjuk barat. Ada golongan yang bencikan penjajah kerana mahu mentadbir negara dengan cara sendiri tetapi setelah penjajah pergi mereka menjadi penjajah yang menindas rakyat di negara sendiri.


Kesedaran dan penghayatan kemerdekaan tidak bergantung kepada pengalaman dijajah tetapi bergantung kepada bagaimana kita mampu mengisi kemerdekaan tersebut.

Apalah gunanya kebebasan fizikal, jika hati masih terpenjara.

Apalah gunanya sorakan kemerdekaan jika di sanubari tiada terdidik sebarang rasa untuk mempertahankannya.

Apalah gunanya kibaran jalur gemilang merata-rata jika tiada lagi semangat juang untuk mempertahankan agama dan negara.

Apa di bangga keamanan dan kemewahan negara jika hari-hari yang berlalu hanya menambahkan dosa.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...