Thursday, June 09, 2011

Khutbah: Kemerdekaan Yang Hakiki


اَلْحَمْدُ ِللهِ القائل :

 قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

أَشْهَدُ اَنْ لااِلهَ اِلاَّ الله  وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ  وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبـَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ. اما بعد, فيا عباد الله اِتَّقُوْا الله وَاُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.


Sidang Jumaat Yang Dihormati Sekalian,

Rata-rata rakyat Malaysia sedang memperkatakan mengenai kemerdekaan negara. Sambutan kemerdekaan disambut di seluruh negara dengan berbagai cara dan pendekatan. Persoalannya ialah adakah semua kita benar-benar telah memerdekakan diri dan jiwa kita seiring dengan kemerdekaan negara. Ada orang berpendapat bahawa manusia menjadi merdeka apabila negaranya merdeka. Ada orang menganggap bahawa kemerdekaan itu mesti dihayati dan dinikmati sepenuhnya dengan melakukan apa sahaja yang terlintas di hati dan terlihat di mata. Ada juga orang yang berpendapat bahawa kemerdekaan bermakna kita mesti berpuas hati terhadap apa sahaja yang ada pada hari ini walaupun tiada sebarang pembaikan dan perubahan dengan semata-mata bersandar kepada konsep kesyukuran.


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Untuk menilai sejauh mana kita telah menghayati kemerdekaan, maka kita perlu mengetahui apakah pandangan Islam terhadap kemerdekaan. Kemerdekaan atau kebebasan merupakan salah satu prinsip asas dalam Syariat Islam. Islam melihat kebebasan sebagai suatu keperluan asasi bagi setiap manusia. Sebab itulah disebutkan bahawa Islam membuka negeri-negeri ketika menawannya bukan menjajahnya kerana Islam tidak bertujuan menguasai tetapi bertujuan membebaskan manusia bagi menerima kebenaran Allah. Kita tidak melihat mana-mana kerajaan Islam yang memaksa rakyatnya memeluk Islam walaupun kita melihat ramai umat Islam disiksa dan dianiayai semata-mata kerana menerima Islam.

Sidang Jumaat Sekalian,

Islam diutuskan kepada manusia bagi membebaskan rohani dan batin mereka daripada memperhambakan diri kepada selain Allah. Oleh kerana Nabi merupakan orang yang paling terkehadapan dalam kemungkinan untuk dipertuhankan oleh manusia maka Allah secara tegas menjelaskan bahawa Nabi Muhammad S.A.W tidak lebih dari seorang Rasul untuk membebaskan manusia daripada kemungkinan tersebut. Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 144 :

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلاَّ رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَى عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ (144)

Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun; dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.


Sidang Jumaat Sekalian,

Manusia biasanya akan terjerumus kepada perhambaan diri sesama makhluk akibat permasalahan hidup yang dihadapinya. Kebimbangan terhadap permasalahan hidup boleh mendorong seseorang itu sanggup menerima kehinaan, menggadai kehormatan diri dan bertolak ansur daripada sebahagian haknya sendiri. Allah menjelaskan bahawa ketakutan dan kebimbangan tersebut adalah akibat bisikan syaitan dan sepatutnya manusia mesti yakin dengan pertolongan Allah. Ayat 268 dalam surah al-Baqarah menjelaskan :

الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُمْ بِالْفَحْشَاءِ وَاللَّهُ يَعِدُكُمْ مَغْفِرَةً مِنْهُ وَفَضْلاً وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ (268)

Syaitan menjanjikan bagi kamu dengan kefakiran dan menyuruh kamu berbuat perkara keji sedangkan Allah menjanjikan keampunan dan kurniaan, dan Allah Maha Luas Kurniaan lagi Maha Mengetahui.


Dalam surah Ali-Imran ayat 160 Allah berfirman :

إِنْ يَنْصُرْكُمُ اللَّهُ فَلاَ غَالِبَ لَكُمْ وَإِنْ يَخْذُلْكُمْ فَمَنْ ذَا الَّذِي يَنْصُرُكُمْ مِنْ بَعْدِهِ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ (160)

Jika Allah menolong kamu, maka tak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Karena itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mu'min bertawakkal.


Sidang Jumaat Sekalian,

Manusia mungkin berjaya membebaskan dirinya daripada perhambaan kepada sesama makhluk dan daripada menjadi hamba kepada permasalahan hidup, tetapi kadang-kadang manusia sering menjadi hamba kepada nilai dan norma hidup. Manusia akan merasakan wujudnya perbezaan martabat dan kemuliaan berasaskan nilaian harta, keturunan, pangkat dan kedudukan. Fenomena ini terserlah dalam surah al-Saba’ ayat 35-37 :


وَقَالُوا نَحْنُ أَكْثَرُ أَمْوَالاً وَأَوْلاَدًا وَمَا نَحْنُ بِمُعَذَّبِينَ(35)قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَعْلَمُونَ(36)وَمَا أَمْوَالُكُمْ وَلاَ أَوْلاَدُكُمْ بِالَّتِي تُقَرِّبُكُمْ عِنْدَنَا زُلْفَى إِلاَّ مَنْ ءَامَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَأُولَئِكَ لَهُمْ جَزَاءُ الضِّعْفِ بِمَا عَمِلُوا وَهُمْ فِي الْغُرُفَاتِ ءَامِنُونَ(37)

Dan mereka berkata: "Kami lebih banyak mempunyai harta dan anak-anak (daripada kamu) dan kami sekali-kali tidak akan diazab. Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezki bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan menyempitkan (bagi siapa yang dikehendaki-Nya), akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui". Dan sekali-kali bukanlah harta dan bukan (pula) anak-anak kamu yang mendekatkan kamu kepada Kami sedikitpun; tetapi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh, mereka itulah yang memperoleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang telah mereka kerjakan; dan mereka aman sentosa di tempat-tempat yang tinggi (dalam surga).

Malah Rasulullah S. A . W sendiri pernah ditegur oleh Allah kerana terpengaruh dengan krisis nilai ini, apabila tidak mempedulikan seorang miskin yang buta bernama Abdullah bin Ummu Maktum yang datang untuk bertanyakan sesuatu disebabkan terlalu sibuk berdakwah kepada Al-Walid bin Al-Mughirah yang merupakan seorang pembesar Arab ketika itu .


Sidang Jumaat Sekalian,

Ramai manusia gagal membebaskan dirinya daripada perhambaan kepada hawa nafsu. Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 24 :

قُلْ إِنْ كَانَ ءَابَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ(24)

Katakanlah: "Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.

Jiwa yang bebas dan merdeka hanya meletakkan dunia dan segala perhiasannya di tangan mereka bukan di hati. Jiwa yang bebas dan merdeka akan sentiasa berwaspada dengan fitnah harta dan perhiasan dunia. Keperluan kepada sesuap nasi dan keperluan kepada keperluan asasi lain boleh mendorong manusia menjual maruah diri dan sujud kepada manusia. Sebab itulah Islam mewajibkan zakat iaitu harta yang wajib diambil oleh pemerintah daripada harta orang kaya untuk diberikan kepada lapan asnaf yang berhak menerimanya. Jika zakat tidak mencukupi maka tanggungjawab pemerintah menyediakan peruntukan secukupnya walaupun terpaksa mengorbankan pembangunan yang lain. Tiada gunanya bangunan yang mencakar langit jika hak asasi rakyat tidak dipenuhi .

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pembebasan terbesar yang diberikan oleh Islam kepada manusia ialah kebebasan memilih aqidah dan kebenaran. Firman Allah dalam surah Yunus ayat 99 :

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ َلآمَنَ مَنْ فِي الأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا أَفَأَنْتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّى يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ (99)

Dan jika tuhanmu menghendaki nescaya akan beriman segala penghuni mukabumi seluruhnya, maka apakah kamu berhasrat mahu memaksa mereka supaya menjadi orang beriman semuanya.

Malah lebih dari itu Islam juga membebaskan manusia daripada iman secara taklid atau dengan lain perkataan disebut sebagai perhambaan pemikiran. Manusia yang menerima Islam secara taklid tidak akan merasakan keunggulan dan keagungan Islam yang dianutinya. Begitu juga mereka yang tidak memahami hakikat pengorbanan dan perjuangan menuntut kemerdekaan tidak akan mampu mempertahankan kemerdekaan. Sebab itulah Islam memberikan kebebasan kepada manusia samada mahu memilih Islam atau terus berada dalam kekufuran. Manusia juga bebas samada mahu menerima kebenaran ataupun terus tenggelam dan bergelumang dengan kesesatan. Di waktu yang sama Allah memberikan Islam sebagai pertunjuk dan panduan untuk manusia membuat pemilihan. Gambaran ini dizahirkan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 170 :

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ ءَابَاءَنَا أَوَلَوْ كَانَ ءَابَاؤُهُمْ لاَ يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلاَ يَهْتَدُونَ (170)


Dan apabila dikatakan kepada mereka, ikutlah apa yang diturunkan Allah ; merka menjawab malah kami hanya mengikuti apa yang kami dapati daripada nenek moyang kami. Apakah mereka akan tetap mengikutinya walaupun terbukti nenek moyang mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak mendapat pertunjuk .

Inilah yang terjadi kepada kebanyakan manusia yang terus memilih kesesatan walaupun amat nyata kepalsuannya. Manusia masih mengikut apa yang diwarisi daripada nenek moyang mereka walaupun menyedari kebodohan nenek moyang mereka itu. Manusia masih enggan meninggalkan amalan kesesatan mereka walaupun amat menyedari bahawa kesesatan itu akan merosakkannya. Manusia masih sanggup terus bergelumang dengan dosa walaupun menyedari bahawa maksiat yang akan dilakukan akan menyeret mereka ke neraka. Inilah seburuk-buruk perhambaan yang mencengkam manusia jika kita tidak berwaspada. Apalah gunanya kebebasan fizikal. Jika hati masih terpenjara. Apalah gunanya sorakan kemerdekaan jika di sanubari tiada terdidik sebarang rasa untuk mempertahankannya. Apalah gunanya kibaran bendera merata-rata jika tiada lagi semangat juang untuk mempertahankan agama dan negara. Apa di bangga keamanan dan kemewahan negara jika hari yang berlalu hanya menambahkan dosa.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

4 comments:

Anonymous said...

Assalam....

Siapa penulis khutbah ni? Adakah pemilik blog ni sndiri? Sy sukalah baca khutbah2 kat sini, lain dr yg lain. Kalau blh masukkn setiap minggu ya, atau yg lps2 juga... yg ni yg akan dtg ke atau yg lps2 punya, sbb hari merdeka lmbt lagi, kn? tp tak kisahlah, sbb isu kemerdekaan ni isu kehidupan, bkn isu kenegaraan kan... Apapun, ucapan salam dn tahniah sy buat penulis khutbah ni

Anonymous said...

Sy tertarikla nk buat khutbah ini sebagai isi ceramah sy. yg best arkib2 khutbah kat blog ni sbb byk dalil yg menguatkn isi khutbah. sy cuba nk keluarkn isi khutbah utk buat tazkirah, kalau ada tertinggal, tuan tolong tambah ya, terima kasih.

1.pembukaan: pandgn terhadap kemerdekaan
2. pandngn islam terhdp kemerdekaan
3. membebaskan rohani dan batin drpd memperhambakan diri kpd selain Allah.
4. perhambaan diri kpd sesama makhluk. (isi ini pntg krn byk terjd dlm kehidupan seharian kita). dalil yg diberi menyebbkn sy rasa mcm ni isu akidah pulak, sbb takut bimbng dn khuatir tu adlh bisikn syaitan yg nk gugat keyakinan / keimanan kita kpd kekuasaan Allah, dn membuatkn kita ragu dgn takdir Allah. dalilni benar2 menempelak sy, moga2 ia jg dapat menyedarkn ramai lg sidang jumaat yg lain.
5. perhambaan kpd nilai dn norma hdup. nilai dn norma hdup ni byk ditentukn oleh manusia, jd kalau kita ikut nilai dn norma yg ditetapkn oleh manusia, beerti kita memperhambakn diri kpd manusia, betul?
6. perhambaan kpd hawa nafsu. [nafsu yg selalu mencintai harta dn milikan dunia]
7. pembebasan terbesar: akidah dn iman
8. penutup: perlu faham hakikat pengorbanan dn perjuangn... barulah dpt merdeka dn mengekalkn kemerdekaan...

Anonymous said...

Sy tertarikla nk buat khutbah ini sebagai isi ceramah sy. yg best arkib2 khutbah kat blog ni sbb byk dalil yg menguatkn isi khutbah. sy cuba nk keluarkn isi khutbah utk buat tazkirah, kalau ada tertinggal, tuan tolong tambah ya, terima kasih.

1.pembukaan: pandgn terhadap kemerdekaan
2. pandngn islam terhdp kemerdekaan
3. membebaskan rohani dan batin drpd memperhambakan diri kpd selain Allah.
4. perhambaan diri kpd sesama makhluk. (isi ini pntg krn byk terjd dlm kehidupan seharian kita). dalil yg diberi menyebbkn sy rasa mcm ni isu akidah pulak, sbb takut bimbng dn khuatir tu adlh bisikn syaitan yg nk gugat keyakinan / keimanan kita kpd kekuasaan Allah, dn membuatkn kita ragu dgn takdir Allah. dalilni benar2 menempelak sy, moga2 ia jg dapat menyedarkn ramai lg sidang jumaat yg lain.
5. perhambaan kpd nilai dn norma hdup. nilai dn norma hdup ni byk ditentukn oleh manusia, jd kalau kita ikut nilai dn norma yg ditetapkn oleh manusia, beerti kita memperhambakn diri kpd manusia, betul?
6. perhambaan kpd hawa nafsu. [nafsu yg selalu mencintai harta dn milikan dunia]
7. pembebasan terbesar: akidah dn iman
8. penutup: perlu faham hakikat pengorbanan dn perjuangn... barulah dpt merdeka dn mengekalkn kemerdekaan...

Abu Izzah At-Tualanji said...

Assalamualaikum,

Untuk pengetahuan semua khutbah di blog ini adalah karangan saya yang telah diluluskan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak untuk bacaan beberapa tahun yang lalu. Namun kesuntukan masa menyebabkan hanya kini berkesempatan untuk dikongsikan dalam blog ini. Sila gunakan jika boleh dimanfaatkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...