Sunday, September 11, 2011

SYARAT SAH MENGIKUT IMAM

 1. TIDAK TERKEHADAPAN DARIPADA IMAM. 
a. Dikira tumit bagi yang berdiri, punggung bagi yang duduk dan lambung jika berbaring.

b. Makruh yang meluputkan pahala berjemaah jika bersamaan.

c. Sunat bagi makmum lelaki berdiri sedikit kebelakang sebelah kanan imam bagi menyatakan kelebihan martabat imam tetapi makruh yang meluputkan pahala berjemaah jika berdiri di kiri atau dibelakang imam.

d. Jika datang selepasnya seorang lelaki lain maka sunat dia berdiri di kiri imam dan sedikit kebelakang dan selepas takbiratul ihram maka kedua-dua makmum berundur ke belakang lalu membuat saf atau imam bergerak kehadapan dan keduanya membuat saf.

e. Jika datang dua orang lelaki bersama maka terus keduanya di belakang imam.

f. Jika makmum seorang perempuan hendaklah berdiri di belakang imam.

g. Jika makmum seorang lelaki dan seorang perempuan maka hendaklah berdiri yang lelaki di kanan imam dan yang perempuan di belakang imam.

h. Jika makmum dua orang lelaki dan seorang perempuan atau seorang khunsa hendaklah kedua lelaki membuat saf di belakang imam dan perempuan atau khunsa itu di belakang keduanya.

i. Jika makmum seorang lelaki, seorang khunsa dan seorang perempuan maka lelaki itu di kanan imam, khunsa di belakang imam dan perempuan itu di belakang khunsa.

j. Maka sunat di belakang imam itu lelaki baligh, kemudian kanak-kanak, kemudian khunsa, kemudian perempuan.

k. Jika belum penuh saf pertama oleh lelaki maka boleh dipenuhkan oleh kanak-kanak tetapi jika belum penuh saf khunsa maka tidak boleh dipenuhkan oleh perempuan.

l. Jika terdahulu kanak-kanak pada saf pertama maka ditinggalkan padanya, jika terdahulu khunsa atau perempuan maka undurkan ke belakang dan berdiri di belakang imam oleh lelaki atau kanak-kanak, jika terdahulu perempuan daripada khunsa maka diundurkan perempuan.

m. Sunat imam jemaah yang bertelanjang berdiri di tengah-tengah dan dijadikan satu saf sahaja samada lelaki sesama lelaki atau perempuan sesama perempuan tetapi jika sesama buta atau di dalam gelap maka imam berdiri sedikit ke hadapan.

n. Makruh makmum berseorangan di luar saf jika ada kelapangan dalam saf.

o. Jika tiada tempat dalam saf maka hendaklah takbiratul ihram di luar saf kemudian sunat dia menarik seorang yang di dalam saf ke belakang supaya menjadi saf bersamanya.

p. Sunat bagi yang ditarik itu menurut agar mendapat fadhilat bertolong-tolongan atas kebaikan dan taqwa.

q. Haram menarik sebelum takbiratul ihram kerana ianya mengeluarkan yang ditarik daripada saf kepada tidak bersaf dan menurunkan dia daripada saf yang utama kepada yang lebih rendah.

 
2. MENGETAHUI PERPINDAHAN IMAM DENGAN MELIHAT IMAM ATAU SEBAHAGIAN MAKMUM ATAU DIDENGAR SUARA IMAM ATAU PENYAMPAI (مبلغ) YANG DIPERCAYAI. 

3. BERHIMPUN IMAM DAN MAKMUM PADA SATU TEMPAT. MAKA ADA EMPAT KEADAAN  :-

 a. Keduanya di dalam masjid.

      i. Sah ikutannya walaupun jauh daripada 300 hasta.

     ii. Sah walaupun ada dinding antara keduanya bebarapa binaan seperti telaga, sutuh dan menara dengan  syarat binaan itu ada pintu terus ke masjid atau pintu terus ke sutuhnya walaupun pintunya tertutup dengan dikuncinya atau tidak sekira-kira makmum boleh bergerak kepada imam maka sahlah.

     iii. Jika binaan antara imam dan makmum tiada pintu terus seperti dipakunya atau ada sutuh yang tidak mempunyai tangga tempat naik maka tidak sah ikutannya.

    iv. Jika imam dan makmum dipisahkan oleh sungai atau jalanraya yang wujud terdapat di dalam masjid itu sebelum wujudnya masjid tersebut maka hukumnya seperti hukum salah seorang di dalam masjid dan seorang di luar masjid yang akan diterangkan kemudian.

    v. Jika binaan antara imam dan makmum itu (شباك) maka tidak sah ikutan mengikut Ibnu Hajar, Ramli dan Syarbini tetapi sah mengikut Asnawi makmum berdiri di belakang syibak yang pada dinding masjid kerana tiada disyaratkan pada binaan itu pintu yang terus tetapi ditolak pandangan ini oleh jumhur Fuqaha. Yang Muktamadnya disyaratkan disyartkan ada pintu atau lubang yang dapat dilalui daripada makmum kepada imam tanpa membelakangkan qiblat sebagaimana disebut oleh Ibnu Hajar dalam Tuhfah.

   vi. Masjid yang berhubung yang terbuka pintunya kepada pintu setengahnya kepada yang lain itu sama seperti hukum masjid yang satu. Jika setiap satu masjid mempunyai imam, bilal dan jemaah tersendiri maka sahlah makmum yang berdiri menghadap masjid yang kedua yang ada imam di dalamnya atau imam di masjid yang ketiga walaupun jauh antara keduanya lebih daripada tiga ratus hasta sekalipun kerana semua masjid dihukumkan seperti satu masjid jua.

  vii. Adapun ruhbah masjid (tempat yang di luar masjid sedangkan dipagari kelilingnya samada diketahui keadaannya diwaqafkan atau tidak kerana kita mengamalkan alamat yang zahir ) maka seperti hukum masjid seperti masjid yang satu dengan masjidnya, maka sah mengikut imam yang di dalam masjid atau sebaliknya walaupun jauh antara keduanya. Tetapi jika ada binaannya yang terus pintunya tetapi jika antara keduanya terdapat sungai atau jalanraya yang wujud terdahulu sebelum wujudnya masjid atau ruhbahnya maka hukumnya seperti berlainan dan disyaratkan jangan lebih daripada tiga ratus hasta antara imam dan makmum.

  viii. Harim masjid (tempat yang disediakan untuk membuang sampah masjid atau tempat menumpahkan air atau sebagainya) tidak dihukumkan seperti masjid yang satu. Kata Zarkasyi wajib atas orang yang membuatnya membezakan antara ruhbah dan harim dengan satu tanda supaya diberi ruhbah dengan hukum masjid.

  ix. Dinding masjid adalah seperti hukum masjid, begitu juga menara masjid yang terus pintunya kepada masjid atau kepada ruhbah masjid tetapi bukan kepada harim masjid.


 b. Keduanya di padang atau rumah yang luas.

i. Disyaratkan jaraknya antara imam dan makmum dan antara dua saf atau antara dua orang yang berdiri di belakang imam atau di kanan atau kiri imam tidak lebih daripada tiga ratus hasta.

ii. Jika imam dalam bangunan seperti rumah atau madrasah dan makmum pada bangunan yang lain atau salah seorang daripada keduanya dalam bangunan dan seorang di padang maka disyaratkan jarak yang hampir antara keduanya dan tiada antara keduanya (حائل) yang menegahkan lalu kepada imam atau setengah daripada segala makmum yang mengikut imam dan supaya dapat lalu berjalan mendapat akan imamnya dengan jalan yang mengikut adat tanpa membelakangkan qiblat tetapi cukup jika mengkanan atau mengkirikan qiblat. Boleh juga jika seorang daripada makmum berdiri berbetulan dengan pintu yang (حائل) iaitu yang mendindingi yang terus melihat ia akan imam atau melihat sebahagian makmum yang di dalam bangunan imam kerana jika ada antara imam dan makmum itu (حائل) yang tersebut itu atau tiada berdiri seorang yang berbetulan dengan pintu itu nescaya tiada sah ikutannya.

iii. Maka apabila sah mengikut imam oleh seorang yang berdiri berbetulan pintu itu maka sahlah mereka yang lain di belakang atau di kanannya atau di kirinya, mengikut akan imamnya walaupun ada beberapa dinding antara mereka dengan imam kerana mencukupi dengan adanya rabitah.

iv. Maka yang berdiri berbetulan pintu itu dinisbahkan sebagai imam bagi mereka dan tidak mereka mendahului imam pada takbiratul ihram dan pada berdirinya dan pada perbuatannya.

v. Maka disyaratkan keadaannya daripada orang yang sah diikut oleh mereka maka tidak sah ianya perempuan jika mereka lelaki seperti pandangan Ramli bersalahan dengan Ibnu Hajar.

vi. Disyaratkan juga yang berdiri itu dapat dilihat oleh mereka dan dapat pergi kepadanya tanpa membelakangkan qiblat.

vii. Jika hilang rabitah itu ditengah sembahyang maka tidak mengapa maka hendaklah disempurnakan oleh mereka itu sembahyang mereka jika diketahui oleh mereka perpindahan imam dan seperti itu juga jika tertutup pintu kerana ditiup angina ketika sembahyang.

viii. Kata Ibnu Hajar dalam Syarah Ubab jika hilang Rabitah itu dengan perbuatan makmum atau dengan suruhnya maka batal sembahyangnya. Jika dibuat orang (حائل) antara imam dan makmum pada tengah sembahyang maka tiada batal seperti yang dirajihkan oleh Ibnu Imad dan Azrai berdasarkan kaedah umum 'Dimaafkan pada berterusan (دوام) apa yang tidak dimaafkan pada permulaan'.

c. Imam di dalam masjid dan makmum di luar masjid.

d. Makmum di dalam masjid dan imam di luar masjid.

i. Hukumnya ( c ) dan ( d ) seperti hukum keduanya di dalam dua bangunan atau salah seorang antara keduanya di dalam bangunan dan seorang di padang.

ii. Disyaratkan tidak terlalu jauh antara imam dan makmum dan tiada (حائل) yang menegahkan lalu kepada imam atau menegah dari melihat imam atau berdiri seorang makmum yang berbetulan pintu (حائل) yang terus.

iii. Ianya seperti dua saf maka disyaratkan jangan jauh tetapi dibilangkan dari tepi masjid yang mengiringi imam atau makmum yang di luar masjid tiada daripada akhir saf dan tiada daripada tempat berdiri imam.

iv. Bukit yang boleh dinaik atasnya maka iaitu dikira sebagai padang juga, maka sah ikut orang yang berdiri di atas bukit kepada imam yang di bawah jika melihat ia akan imam dan hampir jarak antara keduanya dan dapat lalu makmum kepada imam tanpa membelakangkan qiblat.

v. Imam Syafie menaskan bahawa sah mengikut makmum di atas Bukit أبي قبيس kepada imam di Masjidil Haram.

vi. Jika imam dan makmum pada dua kapal yang berbeza maka jika keduanya terbuka seperti tiada keduanya beratap maka hukumnya seperti di padang jua maka sah mengikut imam jika dekat.

vii. Jika berdiri salah seorang di atas dan seorang di bawah maka tiada disyaratkan berbetulan setengah badan keduanya atas qaul muktamad Imam Nawawi hanya disyaratkan jangan jauh antara keduanyalebih daripada 300 hasta jika tiada keduanya di dalam masjid dan boleh dia mendapatkan imam tanpa membelakangkan qiblat.

viii. Makruh tinggi imam daripada makmum dan sebaliknya kecuali hajat.



4. BERNIAT MAKMUM MENGIKUT IMAM ATAU BERNIAT BERJEMAAH ATAU BERNIAT MENJADI MAKMUM 

 
a. Jika lama mengikut imam dalam perbuatan tanpa niat jemaah maka batal solatnya. Berbeza jika sekejap.

b. Maka niat jemaah pada solat lima waktu tidak wajib pada takbiratul Ihram, cuma afdhal kerana menghasilkan fadhilat jemaah dari permulaan sembahyang.

c. Sembahyang Jumaat wajib niat jemaah pada takbiratul Ihram kerana jemaah syarat bagi sah Jumaat pada awalnya.

5. MUAFAQAH PERATURAN SEMBAHYANG IMAM DAN MAKMUM 

 
a. Jika bersalahan seperti sembahyang fardhu lima waktu dengan sembahyang gerhana atau sembahyang jenazah maka tiada sah ikutannya kerana sukar mengikutnya.

b. Sah sembahyang Fardhu di belakang sembahyang sunat tasbih dan zohor di belakang Asar dan Maghrib dan begitu juga sebaliknya.

c. Sah sembahyang qadha' di belakang sembahyang tunai dan sebaliknya.

d. Sah sembahyang fardhu di belakang sembahyang sunat dan sebaliknya kerana muafaqah peraturannya.

e. Jika sembahyang imam lebih panjang daripada makmum maka ketika selesai tahiyat makmum memilih antara mufaraqah dan memberi salam atau menanti salam beserta imam dan ini lebih afdhal jika ada muafaqah tempat tahiyatnya seperti sembahyang Subuh di belakang Zohor.

f. Jika tiada muafaqah seperti Maghrib di belakang Isyak maka wajib bagi makmum niat mufaraqah.

g. Atau muafaqah pada tempat tahiyat keduanya tetapi tiada duduk imam bagi tahiyat awal maka wajib makmum yang sembahyang subuh itu mufaraqah tiada harus menanti.



6. MUAFAQAH MAKMUM BAGI IMAMNYA PADA SUNAT YANG DIKERJAKAN IMAMNYA ATAU YANG DITINGGALKANNYA YANG JADI KEJI MENYALAHINYA 

 
a. Jika sujud tilawah imamnya dan tiada sujud makmum atau sebaliknya atau duduk tahiyat awal imam tapi makmum meninggalkannya atau sebaliknya maka batallah sembahyang makmum jika diketahui haramnya lagi disengajakan tetapi jika duduk imam membaca tahiyat awal dan berdiri makmum dengan sengaja tidak batal sembahyang makmum tetapi sunat ia kembali duduk mengikut imam.

b. Jika berdiri makmum itu dengan lupa wajib kembalinya dan jika tiada kembali batal sembahyangnya.


7. HENDAKLAH MENGIKUT IMAMNYA PADA TAKBIRATUL IHRAM DAN LAINNYA 

 
i. Hendaklah takbir makmum selepas takbir imam dengan yakin.

ii. Jika takbir makmum bersama-sama takbir imam atau beserta setengahnya atau syak samada terkemudian atau tidak dan lama masa syaknya atau beriktikad bahawa terkemudian walaupun terdahulu maka batal sembahyangnya. Tersebut dalam Hadis Sahih, sabda nabi :

اِذَا كَبَّر فَكَبِّرُوْا

Apabila sudah bertakbir imam maka takbirlah kamu.

            Menurut hadis ini maka mesti takbir setelah imam selesai bertakbir dan masuk sembahyang apabila telah sempurna takbirnya. Maka takbir dahulu atau bersama dengan imam seumpama mengikut orang yang belum sembahyang maka tidak sah ikutannya.

iii. Batal sembahyang makmum yang sengaja mendahului imam dengan dua rukun perbuatan walaupun pendek seperti makmum ruku' sebelum imam, maka bila imam hendak ruku' maka makmum bangun I'tidal, maka bila imam bangun I'tidal maka sujud pula makmum lalu batal sembahyangnya ketika sujud.

iv. Batal sembahyang makmum yang terlewat dua rukun perbuatan dari imam tanpa uzur seperti kerana was-was walaupun rukun pendek seperti imam telah ruku' dan I'tidal lalu hendak sujud, sedangkan makmum masih berdiri atau imam sujud kedua dan berdiri membaca Fatihah lalu tunduk untuk ruku' sedangkan makmum masih duduk antara dua sujud maka batal sembahyangnya.

v. Jika bersama dengan imam dalam perbuatan sembahyangselain dari Takbiratul Ihram dan jika pada salam sekalipun tidak mengapa tetapi makruh yang menghilangkan fadhilat jemaah.

vi. Jika makmum mendahului imam atau terkemudian dengan satu rukun fi'li maka tidak batal sembahyangnya tetapi Haram makmum mendahului imam dengan satu rukun perbuatan yang sempurna seperti makmum ruku' dan dan I'tidal sedangkan imam masih berdiri.

vii. Jika makmum terlewat daripada imam kerana uzur seperti lambat membaca yang wajib tanpa was-was hanya semata-mata kerana lewat atau makmum yang muafiq asyik membaca iftithah dan ta'wwuz sebelum Fatihah hingga ruku' imam atau hampir kepada ruku' atau sudah ruku' imamnya maka syak ia semasa berdiri membaca fatihah samada sudah membaca fatihah atau belum ataupun teringat pada masa itu bahawa dia terlupa membacanya ataupu imam terlalu cepat membaca fatihah hingga ruku' imam sebelum makmum sempat membaca fatihahnya.

viii. Maka semua itu uzur yang dimaafkan tertinggal dari imam dengan mengerjakan perbuatan sembahyangnya dengan tertib sembahyang dirinya selama belum berlalu tiga rukun yang panjang yang dimaksudkan bagi dirinya . Maka tidak dikira rukun yang pendek seperti I'tidal dan duduk antara dua sujud maka apabila makmum selesai mambaca fatihah sedangkan imam sedang sujud yang kedua hendaklah makmum ruku' dan maka hendaklah diperbuat tertib sembahyang dirinya kerana belum berlalu 3 rukun yang panjang berbeza jika terkemudian makmum dari imam lebih daripada 3 rukun yang panjang seperti imam berdiri pada rakaat kedua atau duduk tahiyat sedangkan makmum belum selesai membaca Fatihah maka makmum berniat mufaraqah dan diselesaikan sembahyangnya sendiri. Atau boleh juga diikuti imam seperti terus berdiri atau duduk tahiayat tanpa menghabiskan bacaan dan ditambah satu rakaat lagi selepas imam salam. Ini semua adalah hokum bagi muafiq bukan masbuq.

ix. Masbuq atau orang yang tidak mendapat bersama imam masa yang sempat sekadar membaca Fatihah maka apabila ruku' imam sedangkan dia belum lagi habis bacaan Fatihahnya maka jika sebelum makmum itu membaca Fatihah, dia sibuk dengan bacaan sunat seperti doa iftitah dan taawwuz atau diam sahaja kerana lupa atau mendengar bacaan imam, maka wajib dia membaca Fatihah sekadar masa bacaan iftitah atau taawwuznya tadi atau masa diamnya tadi dan tidak boleh ruku' kerana jika ruku; dengan sengaja sebelum membaca sekadar yang wajib itu maka batal solatnya. Setelah membaca Fatihah sekadar yang wajib itu maka hendaklah dia ruku' dan jika dapat dia ruku' bersama imam dengan thoma'ninah maka dapatlah dia rakaat itu. Jika hanya sempat dia bersama imam ketika I'tidal atau waktu tunduknya kepada sujud maka tiadalah rakaat baginya dan wajib dia terus bersama imam dalam I'tidal atau tunduk imam itu tidak boleh ruku'. Jika ruku' maka dengan sengaja maka batal solatnya. Maka apabila luput rakaat itu maka wajib ditambah serakaat lagi selepas salam. Jika dia belum habis membaca qadar yang wajib itu padahal imam hendak tunduk kepada sujud padanya dua perkara :

i. Wajib menyempurnakan Fatihahnya dan batal sembahyangnya. Jika disempurnakan Fatihahnya pada ketika imamnya tunduk kepada sujud maka batallah solatnya kerana terkemudian daripada imam dengan dua rukun tanpa uzur.

ii. Jika ditinggalkannya menyempurnakan bacaannya yang wajib dengan sengaja maka batallah sembahyangnya. Maka tiadalah yang melepaskan daripada batal solatnya itu melainkan dengan niat mufaraqah tidak harus mengikut imam kerana dia wajib menyempurnakan Fatihahnya.

x. Sunat jangan sibuk membaca sunat seperti iftitah dan tauzz selepas takbiratul ihram tetapi sibuk dengan Fatihah kecuali dia zan dapat membaca Fatihah maka sunat dibaca bacaan sunat kemudian baru membaca Fatihah.

xi. Masbuq dan Muafiq pada tiap-tiap rakaat bukan seperti yang disalahfaham bahawa muafiq itu orang yang takbiratul ihram bersama takbiratul ihram imamnya sahaja.

6 comments:

fahmie said...

mohon untuk share .... sbb saya mengajar kitab bughyatul tullab, matanya seperti kitab bughyah

Abu Izzah At-Tualanji said...

Silakan. Segala ilmu hak milik Allah

Unknown said...

bagaimana dikira mengikut imam. saya lihat ade jemaah yang datang pada saat tahiyatul akhir dan trs mengikut imam dalm niat makmum..

Abu Izzah At-Tualanji said...

Makmun datang ketika Tahiyyatul Akhir di kira masbuq. Yang penting dia sempat Takbiratul Ihram sebelum Imam salam. Bila imam salam dia kena tambah rakaat yang tak cukup

Jakjaksuk said...

Apa yg dimaksudkan dgn sutuh ustaz

Anonymous said...

Bolihkah makmun sujud tanpa mufaraqah dgn imam sekiranya imam itu meninggal satu sujud dan terus dia qiam selepas ditegur (perbuatan makmum itu sebelum berlanjut dua rukun fieli?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...