Tuesday, January 20, 2009

Agensi Persekutuan Tidak Iktiraf Tandatangan Pengerusi JKKK

IPOH, 20 Jan (Bernama) -- Semua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang telah diarah untuk tidak lagi menerima dan mengiktiraf sokongan dan pengesahan daripada pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) yang dilantik oleh kerajaan negeri yang berkenaan.Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Perak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebaliknya semua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan kini akan hanya menerima borang-borang permohonan dan dokumen-dokumen sokongan yang ditandatangani dan disahkan oleh pengerusi JKKK Persekutuan (JKKKP) yang dilantik kerajaan persekutuan."Dan saya telah mengarahkan ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di Perak agar mematuhi arahan ini yang berkuatkuasa serta-merta," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Perak di sini, Selasa.Bagaimanapun, katanya, arahan itu tidak terpakai terhadap mana-mana permohonan atau urusan di jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di negeri ini yang dikemukakan sebelum hari ini.Beliau yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri berkata semua ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di Perak juga dilarang daripada menghadiri sebarang mesyuarat yang dianjurkan oleh kerajaan negeri."Mesyuarat yang dianjurkan kerajaan negeri hanya dihadiri oleh ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri sahaja. Arahan itu saya sudah keluarkan lama dan ini adalah langkah serta-merta kerana sebarang kehadiran ke majlis-majlis mesyuarat anjuran kerajaan negeri di peringkat negeri dan peringkat daerah, maka tindakan tatatertib akan dilakukan kepada ketua jabatan dan ketua agensi kerajaan persekutuan yang menghadiri mesyuarat berkenaan," katanya.Bagaimanapun, beliau berkata bagi ketua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan yang mempunyai tugas gunasama dengan kerajaan negeri seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertanian dan polis adalah dikecualikan dengan larangan berkenaan.-- BERNAMA
Inilah bukti betapa "Jakun" nya kerajaan persekutuan yang sedang memimpin kita pada hari ini. Semua keputusan yang dibuat seolah-olah kita masih di zaman koboi yang langsung tidak mempunyai sebarng undang-undang. Yang lebih menghairankan arahan di atas keluar daripada menteri yang kononnya berlatar belakangkan pengetahuan agama (hakikatnya entah setakat mana). Apa logiknya larangan bekerjasama dengan negeri yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan. Kalau Perlembagaan Persekutuanpun sudah tak dihormati, maka eloklah dibuat keputusan agar semua parti pembangkang diharamkan. Nampaknya keutamaan rakyat bagi mereka tidaklah sepenting kepentingan politik mereka.
Sepatutnya Kerajaan Negerilah yang wajar tidak mengiktiraf JKKP kerana ianya diwujudkan setelah berpuluh tahun wujudnya jawatan JKKK. Namun sikap berlembut Kerajaan Negeri tidaklah menguatkuasakan sepenuhnya arahan tersebut walaupun kita terpaksa berurusan dengan pemecah belah masyarakat kampung. Bagaimanalah mereka akan bersoal jawab di hadapan Allah nanti mengenai berbagai pembaziran sumber dan penggunaan wang rakyat pada perkara yang tidak perlu seperti ini.
Mungkin inilah caranya Allah memakbul doa Umat Islam selama ini agar memperlihatkan kebenaran sebagai kebenaran dan kebatilan sebagai kebatilan. Mereka seolah-olah dibutakan mata hati mereka bagi menonjolkan kebodohan mereka di hadapan rakyat sehingga akhirnya nanti mereka sendiri terpaksa mengakui bahawa mereka amat layak untuk ditolak oleh rakyat seluruhnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...