Sunday, January 11, 2009

Runtuhan Perak Cave Temple

IPOH, 11 Jan (Bernama) -- Dua pengunjung parah manakala seorang lagi mangsa yang merupakan pengawal tokong dipercayai masih tertimbus dalam bongkahan batu akibat runtuhan batu kapur dalam Perak Cave Temple di Jalan Kuala Kangsar di sini hari ini.Dalam kejadian pada 3.15 petang itu, 16 pengunjung tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya dikeluarkan menerusi laluan alternatif di bahagian luar gua berkenaan oleh anggota Bomba dan Penyelamat.Kedua-dua mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an itu patah kaki dan seorang daripadanya turut mengalami pendarahan serius.Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata pada masa ini, operasi menyelamat pengawal tokong itu dihentikan sementara bagi menunggu unit anjing pengesan Polis Diraja Malaysia dari ibu negara."Operasi terpaksa dihentikan kerana banyak risiko besar serta terdapat retakan. Operasi itu terpaksa menunggu anjing pengesan dari Kuala Lumpur bagi mengesan sama ada masih terdapat mangsa di bawah runtuhan itu... dipercayai seorang pengawal terperangkap kerana motosikalnya masih ada di kawasan ini," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan kejadian.Dalam kejadian itu, kesemua mangsa mengunjungi tokong berusia lebih 40 tahun itu yang terletak dalam gua batu kapur yang merupakan antara tarikan pelancongan di sini.Ketika runtuhan berlaku dalam tokong itu, kesemua mereka sedang menaiki tangga yang menjadi laluan ke bahagian atas gua berkenaan. Ekoran runtuhan itu jambatan dan tangga yang menghubungkan laluan itu turut ranap.Kejadian itu kemudiannya dimaklumkan kepada pihak bomba oleh seorang pengunjung pada 3.23 petang melalui telefon bimbit miliknya dan pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa pertama pada 4.50 petang.Mohammad Nizar berkata penyiasatan dan kajian terhadap kejadian itu akan diketuai oleh Pengarah Jabatan Mineral dan Geologi dan dibantu bomba serta pengurusan tokong.Beliau berkata pengurusan Perak Cave Temple diarah supaya menutup kawasan berkenaan kepada pengunjung sehingga tarikh yang ditetapkan kemudian.Difahamkan, kejadian ini kali pertama berlaku di tokong berkenaan sejak dibina lebih 40 tahun lepas manakala runtuhan tokong dalam gua batu kapur di Perak direkodkan berlaku pada 1973 yang mengorbankan 27 orang di Gunung Cheruh di sini.-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...