Wednesday, January 14, 2009

Hukuman sebat kepada peminum arak

Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan semalam menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan ke atas seorang lelaki dan seorang wanita yang mengaku bersalah meminum arak. Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh, Mohd. Nasir Mohamad @ Sulaiman, 38, dan Noorazah Baharuddin, 22, mengaku melakukan perbuatan tersebut pada tahun lalu. Mohd. Nasir dituduh meminum arak jenama Tiger Beer di Fun Pub, Holliday Villa, Cherating, pada 11 Julai lalu, pukul 11.37 malam. Dia telah berkeluarga dan mempunyai empat orang anak, bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan di Kemaman, Terengganu. Sementara itu, Noorazah yang bekerja sebagai seorang pelayan di sini, dituduh meminum arak jenama Heineken di Black Forest Pub, Jalan Gambut, pukul 1.20 pagi pada 12 Julai tahun lalu. Kedua-dua tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dihukum di bawah Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987.

Isu hukuman sebat kepada peminum arak telah lama menjadi perbincangan di kalangan pengamal undang-undang Syariah. Antara isu yang ditimbulkan adalah bilangan maksima 6 sebatan yang boleh dikenakan terlalu jauh dengan jumlah yang ditetapkan oleh Allah. Namun secara dasarnya, walau berapapun jumlah yang boleh dijatuhkan ianya wajib dilaksanakan kerana itulah kemampuan Mahkamah Syariah. Baki yang diluar bidangkuasa yang diberikan maka tinggalkanlah kepada penggubal dan mereka yang meluluskan undang-undang menanggung dosanya. Kaedah Feqah menyebutkan; apa yang tidak mampu dilakukan semuanya maka janganlah ditinggalkan kesemuanya.

Persoalan yang lebih besar adalah dari sudut kaedah perlaksanaan sebatan yang dilakukan oleh pihak penjara yang amat jauh tersasar daripada panduan Al-Quran. 6 sebatan yang dilaksanakan pada hari ini jauh lebih menyiksakan berbanding 100 sebatan mengikut sunnah. Matlamat pengajaran dan pendidikan di sebalik sebatan mengikut Al-Quran hanya tinggal penyiksaan tanpa pengajaran kepada awam. Inilah yang menyebabkan kebanyakan mufti dan Mahkamah Syariah kurang terpanggil untuk menggalakkan sabitan hukuman sebat kepada pesalah jenayah Syariah. Maka kesannya kesalahan jenayah Syariah tidak sangat menggerunkan kebanyakan Umat Islam.

Oleh yang demikian, persoalan yang perlu kita fikirkan adalah sejauh mana usaha kita, sebagai Umat Islam, pegawai-pegawai agama, Pegawai-pegawai penjara, para Hakim dan Peguam serta semua yang terlibat, bagi meng"Islamik"kan perlaksanaan hukuman sebat di penjara. Atau perlukah kita mengusahakan pusat perlaksanaan hukuman sebat berlandaskan Syariat Allah berasingan daripada pusat perlaksanaan hukuman sebat di penjara.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...