Sukar nak menggambarkan perasaan kami ketika meninggalkan anak sulung kami di Sekolah Raja Perempuan Taayah Ipoh tadi. Walaupun sekolah itu tidaklah dikira jauh, namun tidak selalu kami bermalam tanpanya di rumah ini. Tidak sebagaimana anak orang lain, anak kami tidak pernah mahu bermalam di rumah orang lain walaupun di rumah opah dan atoknya di kampung. Jauh di sudut hati, aku mengharapkan agar aku dapat melihat anak-anak membesar di hadapan mata agar mudah dikawal akhlak dan pergaulannya. Kalaulah tidak kerana desakan ibunya, atau kerana malam dengan kehairanan teman-teman kerana anak pegawai di JAIPk tak dapat tempat di sekolah sendiri, maka pasti dia masih berulang-alik ke Sekolah Al-Hidayah. Juga aku pasrah dengan keadaan ku yang sentiasa diburu kesibukan hingga sering gagal bersama keluarga baik siang mahupun malam. Usaha yang mampu kubuat hanyalah sekadar melayangkan sekeping surat rayuan ringkas kepada KPP Penyelidikan dengan harapan agar pertimbangan akan dibuat oleh Pengarah sekarang, bukan mantan yang boleh dijangkakan keputusannya. Aku tidak sangat berbakat untuk melobi bagi diri sendiri mahupun keluarga sendiri. Aku hanya mencadangkan kepada pengarah agar memberikan sedikit kelonggaran atau keistimewaan buat anak-anak semua kakitangan. Ibarat kata Ketua Pembangkang, Dato' Seri Mohd Tajol Rosli, ketika kami mengadu mengenai tanah yang diboloti oleh kakitangan Pejabat Tanah, ; kalau bekerja di kilang ais krim maka mudahlah makan aiskrim.
S.F. Ustaz Chu Bakhir, Pengetua SERATA, dalam taklimatnya menyebutkan mengenai jumlah kemasukan yang ramai berbanding tahun sebelumnya. Biasanya di kalangan 160 orang calon yang di tawarkan hanya sekitar 120 orang sahaj yang melapor diri, selain daripada yang hanya bertahan sepetang atau sehari. Sekolah ini biasa dijadikan persinggahan sebelum melangkahkan kaki ke Sekolah Sains atau MARA. Ramai antara kita menganggap ilmu agama hanya hiasan tanpa jaminan masa hadapan. Namun hakikat yang sering kita lupa, berbeza dengan bidang selainnya, belum ada pengangguran di kalangan sarjana agama. Kalaupun tidak diperlukan di jabatan kerajaan atau swasta, orang ramai tetap memerlukan ilmu agama.
Semoga hari ini menjadi titik tolak kepada pembentukan peribadi mulia bagi anakanda, Nur Izzah Insyyirah. Tuntutlah ilmu agar menjadi insan yang sejati. Beribadatlah agar sifat taqwa tersemat di hati. Kuatkanlah keazaman agar segala cabaran mampu diharungi. Tambahlah pengalaman bergaul dengan teman-teman serta hidup berdikari. Mak dan ayah serta adik-adik yang disayangi sentiasa berdoa dan sabar menanti. Kepulanganmu nanti akan kami tunggu sebagai pulangnya seorang "Serikandi".
No comments:
Post a Comment